Cerpen 5 : Sang Merah Jambu

Merah jambu.

Warna yang sinonim dengan para gadis, atau kanak-kanak perempuan. Tapi setahu aku, ada juga para jejaka yang meminati warna ini. Jenis muka ganas tapi dalam hati ada taman mungkin.
Aku tak pasti apa sebabnya aku diwarnakan dengan warna ini. Sebelum ini aku pernah dengar dia mengatakan dia inginkan warna coklat lembut. Tapi entah kenapa akhirnya aku diwarnakan dengan warna merah jambu. Mungkin berubah hati di saat akhir.

Dia seorang gadis biasa dan periang. Sentiasa menceriakan orang yang ada di sekelilingnya. Semua yang mendampinginya, menyenanginya. Baik budi dan sopan santun. Hampir setiap malam, dia akan berbual denganku. Berbual mengenai apa sahaja. Kadang kala dia membacakan puisi kepada ku. Kemudian dia akan tersenyum simpul sendirian.

Ah. Mata sepet itu.

Satu hari dia bercerita mengenai seseorang. Aku tak pasti siapa, namun yang pasti insan itu telah menawan hatinya. Cinta pandang pertama katanya. Dari riak wajahnya, aku tahu dia begitu teruja. Hampir setiap malam dia bercerita mengenai insan itu. Dia namakan insan itu “Pemuja Rahasia”.

Dan bermula malam itu, hampir setiap malam dia akan berpuisi bermadah segala. Akulah yang menjadi mangsa mendengar semuanya. Ulah cintanya terlalu dalam ku rasa. Kadangkala juga dia akan memetik gitar kapoknya perlahan sambil menyanyi lagu More Than Words, nyanyian Extreme.  Atau sesekali dia menyanyi lagu Tentang Seseorang nyanyian Anda.

“I guess I’m totally in love now” katanya riang.

Aku diam.

Dia bersandar di dadaku sambil memegang sebatang pen dan sehelai kertas. Aku tahu, mood romantisnya sudah tiba. Namun sesaat kemudian dia kelihatan terpisat-pisat sambil menggosok-gosok mata sepetnya itu.

“Kalau dah mengantuk tu, tidur sajalah –“ dan sesaat kemudian dia terlena. Masih lagi bersandar di dadaku.

Aku masih terpaku melihat dia yang terlena. Sempat lagi untuk aku menjelajahi wajah itu.  Wajah manis itu, ah tipulah kalau aku kata aku tidak ada perasaan padanya. Hidung mancungnya itu, aku pernah dengar ada sebahagian daripada rakan-rakannya berkata, “hidup kau ni boleh buat sangkut baju tau tak, mancung sangat”. Dan selepas itu dia tidak pernah putus asa menekan-nekan hidungnya, supaya tidak terlalu mancung. Kemudian dia akan membebel sendirian dan hanya sendiri yang tahu apa yang dibebelkan, mungkin mengenai hidungnya itu.

Tersentak aku melihat dia bergerak-gerak dalam lenanya. Ada senyuman kecil yang terukir di hujung bibirnya. Pastinya kamu mimpi indah, ya? Aku senyum sendiri. Aku rangkul erat tubuh itu, beri lagi kehangatan padanya yang sedang bertarung dengan kedinginan malam. Dan aku sendiri tidak sedar bila masa dia tidur dalam keadaan berbaring di atas katilnya.

Hari demi hari berlalu, seperti biasa. Aku tak tahu apa ulahnya hari ni. Usai kerja di pejabat dia terus duduk di hadapanku. Ya, dengan senyuman manis itu. Tiba-tiba dia mencapai sebatang pensel dari dalam begnya dan tiba-tiba melakar sesuatu di dadaku.

“Kau buat apa ni?” sedikit gusar dalam nadaku.

Diam. Tangannya masih lincah melakar entah apa-apa di dadaku.

“Hmm. Siap! Yeay!!”. Gembira betul dia. Dia mencapai telefon pintarnya lalu menangkap gambarku, yang telah siap dengan lukisan-atau-tulisan-atau-apa-sahaja yang dibuatnya tadi. Skrin sesentuh telefon itu digosok dengan jari telunjuknya berulang kali, bersilih ganti dengan ibu jarinya. Only God knows what she’s doing now. Kemudian dia tergelak kecil sendirian. Ah. Macam orang psiko pula gayanya. Tak apalah sayang, asalkan kau gembira.

Oh, rupanya dia ukir namanya bersama sang Pemuja Rahasianya di dadaku. Cis, berani betul dia. Biarlah, asalkan dia bahagia. Itu sudah cukup bagiku.

Satu hari, hujan turun dengan lebat. Hari sudah semakin lewat, dan dia masih belum pulang. Hatiku diketuk rasa bimbang, tak pernah dia pulang selewat ini. Selamatkah dia? Kenapa dia masih belum pulang? Di mana dia? Bila dia nak pulang? Adakah dia terkandas di mana-mana? Dengan siapa dia berada? Seribu satu soalan menderu.

Tiba-tiba pintu bilik terbuka. Dia kebasahan. Kuyup. Lenjun.

“Kau dah kenapa ni?”

Ada air mata bersisa di hujung matanya. Sedu sedan masih berbunyi, meski dia cuba menahan.

“Kau kenapa? Okay tak ni?” aku ulang tanya.

Masih diam. Seperti biasa, dia duduk menyandar di dadaku. Sedu sedan semakin kuat, air mata makin deras.

“Aku ingatkan dia berperasaan sama macam mana perasaan aku ke dia. Rupanya tak. Kenapa dia buat aku macam ni?” berterabur tutur katanya. Berebut dengan esak tangis.

“Errrmmm…” aku cuba untuk menenangkan dia. Namun tak terluah.

“Kenapa dia perlu melayan aku terlalu baik, sehingga aku jadi jatuh suka, jatuh sayang, dan jatuh cinta padanya? Kenapa ketika aku dah rasa semua tu, baru dia nak beritahu sebenarnya dia dimiliki orang? Habis aku ni siapa pada dia? Siapa?!” bentaknya tanpa henti. Aku kaget. Tak tahu nak buat apa. Cuma mendengar bebelan dia sahaja yang aku mampu.

Dia terluka. Aku lagi terluka.

Dia kecewa. Aku turut sama kecewa.

Dia sepatutnya gembira. Supaya aku turut gembira melihat senyuman manisnya, bersama ulah puisi cintanya tiap hari.

Namun ketika ini, aku hanya mampu tawarkan dadaku untuknya. Dan aku rangkul erat tubuhnya, beri ketenangan.

Tenanglah sayang. Aku ada di sisimu sentiasa. Sang Merah Jambu.

No comments: