Cerpen 4 : Bidadari Kecil

Suaranya yang nyaring dan halus itu menyerikan suasana. Dan setiap kali aku mendengar dia berceloteh, aku sentiasa akan berlari menuju ke pintu belakang rumah. Buka pintu dan sentiasa mencari alasan untuk dapat bersama dengannya.

Nadia. Ya.

Dia bukan siapa-siapa pun sebenarnya. Hanya kanak-kanak comel berusia 3 tahun, masih sedikit pelat dalam bertutur, namun keletah comelnya itu sentiasa menghiburkan.
Setiap kali aku ke belakang untuk menyidai baju atau mencuci laman belakang, dia sentiasa ada menemaniku. Kadang kala, kami bercakap macam ayam dengan itik. Dia dengan bahasa separa pelatnya, aku dengan bahasa separa dewasanya. Namun kami tetap baik. Tetap menyayangi antara satu sama lain.

Aku pun sebenarnya tak pasti bila masanya yang aku jatuh sayang kepadanya. Yang aku tahu, kali pertama aku melihat senyuman si cilik itu, aku rasakan itu adalah senyuman paling ikhlas yang pernah aku lihat. Senyuman yang dihantar Tuhan kepadaku dari syurga.

Mungkin juga kerana dalam ingin merawat hati yang sedikit rawan ini, segala rasa kedukaan itu hilang serta merta saat melihat dia. Dan satu kepuasan di tahap tertinggi apabila aku mampu buat dia tersenyum dan gembira.

Benarlah kata orang, kita akan lebih gembira bila kita dah gembirakan orang lain.

Mulai saat itu, hari-hari ku berlalu dengan penuh gembira. Dengan adanya Ya di sampingku, sudah cukup buat duniaku terisi. Tiada lagi kesedihan, air mata dan kedukaan. Semuanya gembira. Semuanya suka.

Dia. Duniaku sekarang. Aku bersyukur Tuhan hantarkan dia untuk aku. Anugerah terindah yang pernah aku rasa.

Namun aku rasakan seperti hanya kami berdua yang ada. Maksud aku, ketika aku enak melayan keletahnya, ketika dia setia teman aku sidai baju dan sebagainya, orang lain seperti tak endah akan kami berdua.
Dan ketika aku sedang menyembang dengannya, tak ada sesiapa pun yang menyampuk ataupun berbual sekali, walaupun di kelilingku ketika itu penuh dengan orang.
Baik Mama, Ayah, Tok Man, Nek Wa. Semua macam tak hiraukan kami.

Kadang aku dapat melihat Tok Man dan Nek Wa kelihatan sangat sedih. Di raut wajah mereka seperti mereka kehilangan, kerinduan. Namun aku segan hendak bertanya. Bimbang dikatakan menyibuk hal jiran tetangga.

Sampai satu hari tu, aku sedar Ya dah lama tak keluar rumah. Dah lama Ya tak teman aku ketika aku menyidai pakaian di belakang rumah. Dah lama Ya tak bercerita mengenai kucing kesayangannya, dengan bahasa yang hanya dia fahami. Dah lama sangat. Dah lama.

Aku tak puas hati. Aku rindu Ya. Aku rindu nak berborak dengannya. Aku rindu nak tengok wajah gembira dia. Aku rindu nak tengok senyuman 'syurga' dia. Aku rindu bidadari kecil itu.

Pagi itu aku lihat Tok Man menyiram pokok di belakang rumahnya. Dengan teragak-agak, aku mulakan perbualan,

"Dah lama saya tak nampak Ya. Mana dia? Balik rumah mak dia ke?"

Tok Man renung aku tajam.
Aku jadi makin tak faham.

"Ke dia tak sihat? Kalau tak selalu teman saya kat belakang ni."
aku mengasak. Aku rindu Ya.

"Kamu tak tahu ke?"

Aku berkerut. "Tahu apa Tok Man?"

"Sungguh kamu tak tahu? Kamu jangan main-main."

Aku makin pelik. Apa bendanya ni?!

"Ya dah lama tak ada. Dua hari sebelum kamu balik bercuti ni, dia demam panas. Dia dah pergi."

Hah?!

"Biar betul Tok Man. Dua hari lepas saya ajak dia makan keropok kat belakang ni haa"

"Betul, Tok Man tak tipu. Kamu tanya Nek Wa kamu tu...."

Aku dah tak dengar apa-apa lagi yang keluar dari mulut Tok Man. Dunia jadi kabur.
Benda terakhir aku ingat, aku terduduk atas tanah, air mata mengalir perlahan ke pipi.

Habis yang selama ni aku bercakap, bermain, dengan siapa? Siapa yang teman aku buat kerja kat belakang rumah selama ni? Siapa? Siapa?

"Sudahlah tu. Redhakanlah pemergian dia. Tuhan lebih sayangkan Ya. Insya Allah Ya tunggu kita semua di pintu syurga. Sabarlah nak". Suara Tok Man kedengaran berbalam, antara dengar dan tidak.


Ya Tuhan, aku rindu dia.
Wahai bidadari kecilku, aku merinduimu sayang.

No comments: