Koyak

Aku capai diari yang tersusun di sudut meja. Entah apa khabarnya, sudah lama aku tak bertanya. Harap dia baik-baik sahaja.

Ada kesan koyakan yang banyak. Entah berapa helai kertas telah aku bazirkan, bazir menulis kisah yang tak pernah kesampaian, dan bazir dengan menarik helaian itu keluar dari jemaah kertas-kertas yang lain.

Mungkin kesan koyakan tu pun jadi perlambangan kepada hati aku. Walau helaian tersebut sudah entah ke mana, namun kesan itu masih ada, masih kelihatan, walau cuba disembunyi.
Tapi sebenarnya aku dah lupa apa yang aku pernah tulis dulu. Mungkin secebis kisah gembira yang pernah aku rasa, atau cuma sekadar cubaan untuk mengimbau kenangan lama. Yang aku ingat, masa aku baca balik helaian yang dah dikoyak tu, ada ketika aku tersenyum sendiri, tapi banyaknya aku menangis dalam hati.

Dan sekarang, cuma ada beberapa nota pendek. Hanya beberapa perkataan, dan ayat. Ringkas, padat, pendek dan mungkin sukar difahami.
Kali terakhir aku berkata-kata dengannya pada Mei lepas, yeah, lebih kurang 6 bulan yang lepas.

Setiap nada yang aku lagukan padanya, cuma nada sedih dan berisi dendam yang tak terluah.

"Andai mimpi sahaja yang mampu menemukan kita, 
izinkan aku untuk bermimpi
selamanya."
16/5/2012
1147 hrs.

No comments: