2 Syawal

Aku perhati wajah itu, senyuman itu. Aku tenung kosong, sekosong cerminan wajahnya.

Berbaju T hijau dan berseluar denim biru. Melangkah longlai ke arah ruang tamu dan tersengih.

Ah! Muka baru bangun tidur!

Aku ikut langkahnya yang seperti tiada arah tuju, dengan ekor mata. Serasa keadaan menjadi sunyi sebentar, hilang sudah riuh rendah suara kanak-kanak, saudara mara aku dan dia. Seperti berada di ruang vakum.

Ya, sepertinya hanya ada aku dan dia. Bukan, hanya aku. Yang memerhatikan dia.

Aku tak pasti apa sebenarnya riak wajah aku ketika itu, yang pasti, aku cuma mahu dia tahu, yang aku punya kekuatan yang datang entah dari mana, untuk berhadapan dengan dia yang dah robekkan hati aku.

Tengok, aku tak lari dari kau. Malah aku datang, menyerah rasa pada kau.

Aku terus tenung kelakuannya, gelak tawanya, tutur katanya, dengan hujung mata. Persetan sama air merah dalam gelas, biskut-biskut dan segala macam kerepek-kerepek di atas meja. Semua tu aku dah jumpa di mana-mana. Aku tak mahu semua itu.

Aku cuma mahu dia. Cuma Tuhan sahaja yang tidak mahu memberi.

Aku tersentak, terus merangkul diri sendiri dengan helaan nafas kecil.

No comments: