Cerpen 6: Jiwa

"Mummy, do you wanna have some?"

Aisyah menyuakan kotak minuman susu coklat kepadaku. Memang tabiatnya suka mendahulukan aku dalam apa-apa hal, termasuk ketika ingin minum sekalipun. Aku tak pasti daripada mana dia belajar perkara tersebut, namun aku senang dengan kelakuannya yang satu ini.

"Never mind sweety. Aisyah minum je. Mummy tak dahaga pun". Senyuman paling manis kuhadiahkan kepada puteri kesayanganku ini. Puteri, intan, payung, cinta hati, atau apa saja.

"Okay then, Aisyah minum. Aisyah habiskan ye?"

"Boleh sayang. No problem". Ku usap kepala Aisyah. Aisyah terus mengeluarkan straw dari belakang kotak, menebuk lubang lalu terus menghabiskan susu coklat dalam beberapa kali sedut sahaja. Selesai susu coklatnya, terus tergolek di hadapan televisyen. Sesaat kemudian, terus terlena. Terlalu letih bermain petang tadi mungkin.

Aku pandang wajah sucinya dengan penuh kasih sayang. 6 tahun dahulu, lepas aku diijabkabulkan dengan Imran, aku disahkan mengalami ketumbuhan di pangkal rahimku. Peringkat awal aku cuba bertahan, hingga pada akhirnya doktor mengesahkan terpaksa membuang keseluruhan rahimku. Saat dikhabarkan berita itu aku rasa seperti duniaku gelap. Masih terkesan genggaman tangan Imran memberikanku kekuatan dalam menghadapi saat 'kegelapan' tersebut.

Kegilaan apakah ini. Aku bukan lagi perempuan normal. Aku tak mampu nak melahirkan zuriat buat Imran. Aku tak akan dapat merasa bahagianya saat bayi dalam perut menendang-nendang perutku. Aku tak akan dapat merasa teruja saat doktor melakukan imbasan jantina bayi.

Sungguh. Aku tak akan dapat merasa semua itu.

Sehinggalah aku bertemu dengan Aisyah. Bidadari kecil yang dibawa Imran untuk menggembirakan hatiku. Imran mengesyorkan aku mengambil hormon untuk menggalakkan pengeluaran susu badan, dan menjadikan Aisyah sebagai anak susuanku. Aku bahagia melihat Aisyah membesar di depan mataku. Anak yang bijak, menjadi kesayanganku dan Imran. Dunia akhirat. Ya Tuhan, pertemukanlah kami bertiga di syurga kelak. Tempat bahagia yang kekal abadi.


Namun hari demi hari, aku mula berasa risau. Aisyah harus mengetahui cerita sebenar. Aisyah ada hak untuk mengetahui kisah sebenar dirinya. Aisyah perlu, dan mesti tahu. Tidak boleh tidak.

Persoalannya, bagaimana? Takkan selamanya aku dan Imran harus berdiam diri, merahsiakan perkara sebenar? Tak mungkin 20 tahun akan datang saat Aisyah ingin bernikah barulah aku dan Imran bercerita mengenainya? Bila saat yang terbaik untuk aku dan Imran berterus terang?

Aku teliti wajah lena Aisyah. Tenang. Entah apalah yang dimimpikannya.

Mimpi yang indah ya sayang? Ku kucup lembut dahinya.

Aku hanyut seketika dalam khayalan, memikirkan masa depan Aisyah. Berfikir bagaimana masa depan Aisyah. Demi Tuhan aku tak mahu dia sedih. Aku tak mahu dia susah. Aku hanya mahukan dia gembira, kerana kegembiraannya, kebahagiaanku.

Air mata hangat mengalir perlahan ke pipi. Tiba-tiba ada tangan kecil comel yang menyeka pipiku.

"Mummy, why are you crying?"

2 comments:

ARMZ said...

Love this one. :)

Madiha Ilham said...

Sayangnya. Tak cukup jiwa di dalamnya.