Cerpen 3 : Mangga

Pokok Mangga Forever Alone.

Nama yang diberi oleh Rafiuddin dan rakan-rakannya ke pokok mangga yang hanya tumbuh sebatang di atas bukit kecil di belakang rumah Pak Samad, tempat mereka selalu mengaji malam-malam. Namun untuk bulan Ramadan ini, Pak Samad telah mengawalkan jadual mengaji mereka ke waktu petang, sebelum Asar untuk memberi laluan kepada anak-anak muridnya menunaikan solat sunat Terawih di surau kampung mereka.

Rafiuddin sering merenung pokok mangga tersebut dari rumah Pak Samad. Usai mengaji, sementara menunggu sahabatnya Amir habis mengaji, dia akan membuang pandangan ke belakang rumah Pak Samad. Sebenarnya tiada apa yang menarik dengan Pokok Mangga Forever Alone itu, cumanya ia tumbuh sendirian, tanpa ada pokok mangga lain di kawasan tersebut. 

Dengan jalan yang agak menyeramkan, tak ramai yang sanggup untuk mendaki bukit tersebut untuk mengambil buah mangga di pokok itu. Dengar khabar rasa buah mangga dari pokok itu itu teramat sedap. Lemak manis, dan sukar untuk mendapatkan rasa sebegitu pada mangga-mangga lain, dari pokok-pokok yang lain.

Rafiuddin sentiasa mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi terhadap pokok mangga tersebut, tambahan pula gadis pujaannya, Siti Sarah, selalu bercerita mengenai kesedapan mangga tersebut. Rafiuddin selalu mendengar Siti Sarah bercakap mengenainya dengan rakan sekelas mereka. Ini lagi menambahkan rasa semangat Rafiuddin untuk memanjat bukit kecil itu, dan memetik buah mangga barang sebiji dua dan berikan kepada Siti Sarah, sebagai lambang cintanya kepada gadis itu.

"Woi Mir, petang ikut aku jom!" kata Rafiuddin ke Amir pada waktu rehat. Oleh kerana berada dalam bulan Ramadan, mereka hanya duduk dalam kelas tanpa berbuat apa-apa.

"Nak pi mana? Bila?" kerut terbentuk di dahi Amir. Hairan, jarang Rafiuddin mengajaknya keluar tak tentu hala di petang hari, selalunya mereka hanya bermain futsal di gelanggang berdekatan rumah mereka sementara menunggu waktu berbuka.

"Naik bukit belakang rumah Pak Samad tu lah. Aku nak pi usha apa dia yang menarik sangat pokok mangga tu," Rafiuddin mengukir senyuman kecil di bibirnya. Senyuman yang menjadi kegilaan pelajar perempuan di sekolah tersebut, kecuali Siti Sarah. 

"Hang nak pi usha ka, hang nak pi petik buah tu pi bagi ke Sarah? Ingat aku tak tau?" serkap Amir.

"Shhhh! Jangan cakap kuat-kuat! Malulah aku," pantas Rafiuddin menekup tangannya ke mulut Amir. "Mulut hang ni capoi betul! Macam Joyah!" sambil merujuk ke Joyah, atau nama sebenarnya Johanna. Dia digelar Joyah akibat kepantasannya menyebarkan gosip panas di sekolah, malah ada juga beberapa pelajar menengah atas yang menggelarkannya 'Internet bergerak'.

"Hang nak pi bila Raf? Lepaih mengaji ka? Hang toksahlah duk buat gigih sangat, Siti Sarah tu bukan nak kat hang pun. Hang tak tau ka la ni dia duk syok kat Afiq, headboy tu.."

Mendengarkan nama Afiq, wajah Rafiuddin tiba-tiba berubah. Teringat Afiq, pelajar Tingkatan 5 yang menjadi Ketua Pelajar di sekolah mereka. Bukan sahaja Ketua Pelajar, malah aktif dalam pertandingan bahas ala parlimen, pidato, syarahan agama dan pengakap. Walaupun Rafiuddin sendiri diberi kepercayaan oleh jurulatih bola sepaknya untuk menjadi kapten pasukan bawah 15, namun sedikit sebanyak dia masih rasa tergugat dengan Afiq.

"Kita pi lepaih mengaji la. Lepas Asar tu kita pi. Sat ja. Bukan lama pun," Rafiuddin masih mahu mengajak Amir mendaki bukit kecil itu. Partner in crime katanya.

"Petang ni? Ooo so sorry my friend. Ini petang aku busy. Aku nak pi ikut bapak aku pi pekan. Lepaih tu mak aku habaq kalau aku behave petang ni mak aku nak buatkan sirap selasih kat aku. Huish. Sedap bak hang," Amir mengusap-usap tekaknya, sambil membayangkan sirap selasih buatan ibunya. Memang best in the world!

"Sat ja pun, tak boleh?"

"Dak. Kot hang nak pi, hang ajak orang lain Raf,"

"Alaaaa..."

"Ha ha ha. Good luck my friend. Aku mampu bagi semangat ja kat hang. Semoga hang berjaya 'ayat' Siti Sarah. Jangan bagi can ke Afiq tu. Buktikan hang lagi 'power' daripada dia. Kehkehkeh,"

Rafiuddin bertekad dalam hati. Petang ini dia mesti mendaki bukit kecil itu, dan memetik buah mangga idaman Siti Sarah. Baru dia tau siapa Rafiuddin lepaih ni. Huh.

Petang itu sebelum Asar, ketika Rafiuddin bersiap-siap hendak ke rumah Pak Samad untuk mengaji,

"Mak, Uddin balik lambat sikit. Ada hal dekat rumah Pak Samad. Bulih no?" sambil mencium tangan Ibunya, satu-satunya insan yang memanggilnya Uddin. 

"Ada hal apa? Jangan lambat sangat. Hang ni selalu lagi 5 minit nak waktu buka baru reti balik. Abah hang bising tau dak.."

"Alaa Mak toksah bagitau Abah. Sebelum buka Uddin balik, Uddin janji. Bye Mak! Lebiu!!" terbayang imej bapanya di minda, seorang pesara tentera. Tinggi, tegap, tegas dan garang. Rafiuddin mewarisi fizikal bapanya, dan dengan kelebihan itu, dia juga hebat dalam bola sepak. Tak hairanlah ramai pelajar perempuan tergila-gilakannya, kecuali Siti Sarah, anak kacukan Arab-Melayu itu.

"Haih la Sarah, buat pa la duk gila sangat kat Afiq tu. Bukan ada apa pun. Lembik. Harap cakap pandai. Aku pun boleh.." ngomel Rafiuddin sambil mendaki bukit tersebut. Lapar dan dahaga sanggup diletak tepi, demi memenuhi permintaan cinta hati. Mungkin sebab Afiq ada sedikit Chinese-look, atau ala-ala wajah hero Korea kegemaran Siti Sarah yang membuatkan gadis itu meminati Afiq. Berbanding Rafiuddin, dia agak tanned, akibat selalu main panas.

Sampai di puncak bukit itu, Rafiuddin terus menuju ke Pokok Mangga Forever Alone tersebut. Kelebatan buah di pokok tersebut seolah-olah memanggil-manggil Rafiuddin untuk memetiknya. Tanpa melengahkan masa dia terus memetik dua tiga biji buah mangga dari pokok itu. Dia memilih buah yang kelihatan sudah masak dan ranum.

"Heh. Lepas ni hang rasalah kemanisan cintaku wahai Siti Sarah. Manis sampai hang termimpi-mimpi sampai tak boleh tidoq. Baru hang tau siapa Rafuddin..kehkehkeh" ngomel Rafiuddin sendirian. Dia mula terbayang riak gembira di wajah gadis manis itu. Dia mencangkung di bawah pokok tersebut sambil membelek-belek buah mangga yang telah dipetiknya tadi.

Tiba-tiba..


PIAAPPPP!!!

keadaan sunyi. 

Rafiuddin rasa sedikit perit di belakang badannya. Makin lama makin perit. Dia kenal bunyi libasan itu, dan rasa perit dan pedih itu.

"Hang duk buat apa kat sini?" 

Rafiuddin kenal suara garau itu. Suara Abahnya.

PIAAAPPP!! Lagi sekali.

"Mak hang kata hang ada hal. Kat sini rupanya hang. Tak reti nak balik ka?"

Rafiuddin diam.

"Dah dekat nak buka ni. Hang duk buat apa kat sini? Mak hang risau tau dak. Dah! Jom ikut aku balik!"

Rafiuddin menurut bapanya, lemah. Sambil menahan pedih akibat dua libasan hikmat bapanya itu.


Malam itu, dalam pada dia gembira ingin memenuhi impian Siti Sarah, dia terpaksa tidur meniarap, dan mengaduh kesakitan menahan kepedihan. Nasiblah ibunya baik hati menyapukan ubat di belakang badannya.

Demi Pokok Mangga Forever Alone.

No comments: