10 minit.
Aku renung sekilas jam tangan hitam pemberian Mama dan Ayah di tangan kananku. Hmm. Boleh tahan lambat. Aku melingas pandangan merata, kalau yang dinanti sudah tiba. Namun hampa. Bayangnya masih belum kelihatan. Kopi di atas meja masih lagi berasap, sudah suku cawan ku minum. Muffin blueberry ku cuit sedikit dengan garfu kecil lalu menyuap ke dalam mulut. Mengisi masa sementara menanti dia.
Bosan. Sudah hampir 20 minit menunggu.
Aku capai novel 'chic' bahasa Inggeris kegemaranku, menyelak ke halaman yang dah ku tanda malam tadi. Mula membaca namun fikiran masih menerawang jauh. Mengingatkan dia yang sepatutnya dah sampai sekarang.
Kopi, muffin Blueberry dan buku. Masih tak mampu nak membunuh kebosanan akibat menunggu. Seisi kedai kopi hanya dipenuhi oleh beberapa manusia yang sibuk, atau mungkin perasan sibuk seperti aku juga. Ada juga yang sedang berdiskusi, tentang perniagaan mungkin. Mungkin dengan secangkir kopi yang harganya belasan ringgit itu mampu membawa keuntungan berjuta pada syarikat. Di satu sudut lain, ada pasangan muda sedang memadu kasih. Yang gadis masih malu-malu apabila ditenung oleh sang jejaka. Entah apa butir percakapan mereka, aku kurang pasti. Mungkin lancar melafaz kata cinta, berikrar janji setia, hingga hujung nyawa.
Di satu ceruk lain, ada aku. Sendirian. Masih menanti dia.
Tiba-tiba aku rasa bahuku dicuit perlahan. "Hey, lama dah tunggu?"sapanya mesra. Akhirnya yang dinanti telah tiba. Dia terus mengambil tempat duduk di hadapanku, macam biasa.
"Taklah sangat. Coffee?" jawabku. Berbasa-basi di awal bicara. Padahal Tuhan saja yang tahu betapa bosannya menunggu.
"No thanks. Sorry lambat, jalan jammed. Tahulah, public holiday. Then got accident pulak. Haih. Macam-macam" keluhnya. Dari riak wajahnya aku lihat dia semacam kelam-kabut. Entah dari mana dan kenapa, aku malas nak ambil tahu. Dia membetul-betulkan posisi duduknya, hingga dia rasa selesa. "Yang kau pun duduk tempat ceruk sangat ni dah kenapa? Bajet loner ke? Susah betul nak cari kau. Nasib tak kecil mana, senanglah jugak nampak,". Ceh, sempat lagi mengutuk aku. Yang aku tunggu dia dekat setengah jam ni tak pulak dia nak kisah?!
"Saja. Nak privasi sikit. Bukan selalu dapat jumpa kau. Takkan nak sembang dengan kau dekat tempat hiruk pikuk bising?" aku hirup lagi kopi pekat dari cawan. Pahit, dan sedikit manis. Macam biasa. Kopi dah berbaki separuh cawan. Masih suam.
"Ah sudahlah kau. So what's up?" soalnya. Sambil tersenyum. Lama aku tak nampak senyuman tu. Matanya yang sepet itu kelihatan segaris bila dia senyum. Mata KPoP, katanya satu masa dulu. Rindu betul aku dengan senyuman tu.
Segumpal nafas berat kelepaskan. Umpama segunung beban telah berlalu pergi. "Nothing much, macam ni je lah......"
"Eleh yelah tu...tengok muka pun macam ada masalah dunia je. Lagi mau kata nothing much konon.." tangannya laju mencuit muffin Blueberry aku. "Mmm..sedap betul..". Benda kau rembat orang punya, memanglah sedap. Nakal betul. Tapi keletah nakalnya itulah yang selalu buat aku terhibur. Lantas mencambah rasa sayangku pada dia.
"Aku tau kau tak okay ni. Kalau tak, takkan kau nak jumpa aku? Kot kalau rindu pun, kau text je. Ini sampai nak berjumpa bagai ni, apa cerita?" bebelnya sambil membetul-betulkan jam tangan berwarna hitam di tangan kanannya.
Aku senyum tawar. Sambil mengacau perlahan kopi dalam cawan. "Aku....tak tau. Tak pasti..tak sure.."
"Apa benda yang kau tak pasti lagi tu? Dengar sini, aku tak suka tengok kau sedih macam ni. Bukan semalam benda tu jadi. Dah lama. Takkan kau nak biarkan selamanya kau bersedih?" tingkahnya tiba-tiba. Jarinya pantas mencapai tanganku di atas meja. Ku jeling cincin perak di jari manisnya. Pemberian Ayahnya setahun lepas. My first love ever, katanya dahulu. Aku senyum lagi. Tapi masih tawar.
"Salah ke kalau aku rasa macam ni? Ke memang aku perlu buang rasa ni jauh-jauh?" soalku bertubi-tubi.
"Memang tak salah. Itu lumrah. Tapi kalau boleh, buanglah rasa tu sejauh-jauhnya. Tak guna kau sedih, sedang yang lain sedang gembira. Tak adil bukan?" segaris senyuman menghiasi wajahnya. Manis sangat. Aku cemburu melihat senyuman girang itu.
"Hmm. Tengoklah dulu. Aku tak tahu aku mampu atau tak.." aku bersandar perlahan sambil membuka cermin mata dan meletakkannya di atas meja. Aku pejam mata sesaat dua, tenangkan fikiran. Aroma kopi menusuk deria bau. Ah, indahnya rasa.
"Aku tau kau mampu. Cuma kau je yang pilih untuk tidak. Terserah. Aku cuma nak tengok kau gembira, dalam erti kata gembira yang sebenarnya. Bukan buat-buat gembira tapi hati kau rabak". Aku hadam perlahan-lahan kata-katanya, antara dengar dan tidak. Suasana sepi seketika.
Aku buka mata, ku lihat dia tak ada di depan aku. Yang tinggal cuma secawan kopi, muffin Blueberry yang baru dicuit sedikit dan novel Inggerisku. Serta beberapa orang yang sedang berdiskusi tentang perniagaan, serta pasangan remaja yang masih lagi berbicara tentang cinta.
Dia telah pergi, tinggalkan aku sendiri, atau sememangnya tidak pernah datang pun.
Aku hirup lagi kopi dalam cawan, hingga tinggal suku. Macam biasa.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment